Presiden baru Kelantan FA Bibi Ramjani Ilias Khan telah mendedahkan bahawa beberapa penaja masih belum menyelesaikan bayaran yang tertunggak dari tahun lepas.
Setelah dilantik menjadi presiden baru KAFA minggu ini, Bibi Ramjani, yang juga merupakan usahawan batik yang berasal dari Kota Bharu, sedang berada dalam proses membantu KAFA menyemak dan menyelesaikan bayaran gaji pegawai dan pemain yang masih tertunggak.
Menurut kata beliau, bayaran gaji yang tertunggak hanya boleh diselesaikan jika penaja-penaja mereka tampil membuat bayaran tajaan seperti yang ditetapkan dalam kontrak tajaan.
“Beberapa penaja yang nama mereka tercetak di jersi pemain masih tidak selesaikan bayaran tajaan dijanjikan yang dianggarkan berjumlah lebih RM1 juta. Mereka ini mungkin ada duit, tapi menunggu selepas berlaku perubahan dalam KAFA. Kami sedang berbincang untuk menyelesaikan gaji pemain,” kata Bibi kepada Arena Metro.
“Jadi, saya harap penaja terbabit dapat bekerjasama dalam melunaskan tajaan kerana pemain sudah jalankan tanggungjawab dalam mempromosi syarikat mereka.”
Pengurus Desa Murni Batik itu menerima 32 undian untuk kerusi presiden KAFA, sekaligus mengalahkan Datuk Muhammad Nasir Hamzah, yang hanya menerima 16 undian.