Malaysia Berita

Nike perkenal jersi baharu Harimau Malaya

Nike memperkenalkan jersi terbaharu skuad bola sepak kebangsaan Malaysia edisi 2022-2024.

Ini bermakna, jersi ini akan digunakan pada kejohanan Piala AFF 2022 dan Piala Asia 2023.

Bertemakan Demi Lencana Di Dada, jersi utama edisi kali ini kekal menggunakan warna kuning sebagai warna dominan dengan hanya bahagian kolar bulatnya berwarna hitam manakala jersi kedua juga terus dikekalkan warna hitam sebagai warna dominan.

Jersi baharu ini sudah boleh didapati dengan harga RM299 mulai hari ini, 17 November 2022 secara eksklusif di Football Republic Sunway Pyramid dan secara dalam talian di www.nike.com/my dan Nike App.

Ia disusuli penjualan secara menyeluruh di outlet terpilih Al-Ikhsan Sports dan Football Republic seluruh negara serta di www.al-ikhsan.com bermula minggu depan iaitu pada Khamis, 24 November 2022.

“Nike amat berbesar hati kerana dapat terus bersama FAM dan Harimau Malaya yang mana ini merupakan jersi edisi kesembilan Nike bersama pasukan kebangsaan Malaysia bermula dari tahun 2007,” kata Pengarah Pemasaran Nike Asia Tenggara dan India, Chris Madsen.

“Jika diimbas semula, jersi pertama Nike untuk pasukan kebangsaan Malaysia diguna pakai ketika Piala Asia 2007 dan untuk jersi edisi kesembilan ini, sudah tentu ia akan sekali lagi menjadi sesuatu yang istimewa kerana akan dipakai skuad Harimau Malaya pada Piala Asia 2023 di Qatar nanti.

“Bagi jersi edisi 2022-2024 ini, kita mengekalkan penggunaan dua warna simbolik Harimau Malaya iaitu hitam dan kuning pada kedua-dua jersi ‘home’ dan ‘away’ kerana hitam kuning ini bukanlah hitam kuning yang biasa. Ia adalah warna kepada jiwa untuk pahlawan-pahlawan Harimau Malaya.”

Seramai tujuh pemain skuad Harimau Malaya telah memakai jersi terbaharu itu iaitu Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, V. Ruventhiran, Nazmi Faiz Mansor, Safawi Rasid, Ahmad Khuzaimi Piee, Brendan Gan dan Akhyar Rashid.

“Semoga dengan jersi baharu ini, ia akan memberikan semangat baharu kepada para pemain Harimau Malaya apabila mereka beraksi di pentas Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada Disember ini,” kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Seterusnya pada Piala Asia 2023 di Qatar dan juga perlawanan-perlawanan antarabangsa lain, termasuk juga untuk pasukan-pasukan kebangsaan yang lain iaitu pasukan wanita, remaja, futsal dan juga bola sepak pantai.

“Terima kasih kepada Nike yang tetap setia bersama FAM dan Harimau Malaya sepanjang tempoh lebih 15 tahun ini yang mana sudah tentu jersi edisi 2022-2024 ini akan tinggi nilainya kerana ia bakal ‘beraksi’ di pentas Piala Asia 2023.”