Malaysia Berita

Kim Pan-gon: Saya pilih pemain yang ada perwatakan, bukan sekadar minit permainan

Jurulatih negara, Kim Pan-gon mendedahkan, 24 pemain yang akan beraksi dalam saingan Piala Raja Thailand 2022 terpilih kerana mereka mempunyai perwatakan tersendiri, bukan sekadar mempunyai minit permainan dalam perlawanan liga semata-mata.

Ini setelah beberapa muka baharu seperti Azam Azmi Murad, Declan Lambert, Kalamullah Al-Hafiz dan Zhafri Yahya tersenarai manakala pemain yang sudah lama mewakili negara seperti Farizal Marlias, Aidil Zaquan dan Guilherme de Paula tidak terpilih kali ini.

“Bila saya panggil pemain, saya nak tengok perwatakan mereka,” kata Pan-gon ketika bertemu media baru-baru ini. “Sama ada perwatakan mereka sesuai dengan pasukan atau tidak.”

“Walaupun dia main 10 minit, tapi kalau dia ada perwatakan, dia seorang yang berbakat, saya akan letak namanya dalam senarai tinjauan.

“Jadi, minit permainan tidaklah berapa penting. Kadang-kadang ada pemain yang main selalu tapi saya tak nampak apa yang menarik. Tapi ada pemain yang baru main berapa minit, tapi dia ada perwatakan dan sesuai dengan DNA pasukan.

“Jadi saya ada beberapa pemain seperti itu, kita akan terus pantau dan beri pemain masa untuk sesuaikan diri dan bekerjasama sebagai satu pasukan.”

Skuad kebangsaan akan bertemu Thailand dalam perlawanan pembukaan Khamis ini, namun Pan-gon tidak terlalu bimbang dengan kedudukan ranking negara jiran itu yang kini berada di tangga ke-111 dunia.

“Ranking hanya mencerminkan prestasi beberapa tahun sebelum ini, bukan prestasi sekarang. Kita kini nombor 148, sebab dalam beberapa tahun ini kita dah kejar daripada kedudukan 156 dan kita mahu terus memandang ke hadapan.

“Tapi ini tak bermakna kita lebih lemah atau pihak lawan lebih kuat, kita tak tahu. Kejohanan ini boleh jadi pengukur di mana kita berada ketika ini. Adakah kita boleh saingi negara yang kedudukan lebih tinggi dari kita atau tidak.

“Kita akan buat yang terbaik untuk bersaing dengan negara lain. Kita sudah melakukan persiapan, apa yang penting, kita kekalkan corak permainan sebelum ini, kembangkan lagi DNA pasukan, itu lebih penting dari keputusan.

“Tapi kita tetap mahukan prestasi yang baik dalam kejohanan itu nanti,” katanya.