Malaysia Berita

Piala Raja Thailand: Peluang Harimau Malaya perbaiki kedudukan undian dalam Piala Asia 2023

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar menyifatkan kejohanan persahabatan empat penjuru, Piala Raja Thailand merupakan peluang buat skuad kebangsaan untuk memperbaiki kedudukan lebih baik dalam Piala Asia 2023.

Ini selepas FAM mengesahkan bahawa Malaysia akan menyertai kejohanan itu di Bangkok pada 22 hingga 25 September ini, dengan skuad kendalian Kim Pan-gon akan memulakan sesi latihan berpusat pada 15 hingga 27 September ini.

Bagaimanapun, Malaysia yang layak ke Piala Asia pada Jun lalu hanya sekadar berada pada balang keempat iaitu balang terakhir.

Kedudukan balang undian ditentukan menerusi kedudukan ranking FIFA, dengan Malaysia menghuni ranking ke-147 dunia bersama-sama India (104), Tajikistan (108), Thailand (111), Hong Kong (145) dan Indonesia (155).

“Ini sebenarnya adalah peluang yang baik untuk pasukan negara,” kata Saifuddin kepada Harian Metro.

“Di samping kita persiapkan pasukan, kita juga boleh mengutip mata ranking di mana kita tahu undian Piala Asia nanti nampak sukar.

“Kita harap dapat baiki kedudukan dalam balang, sekali gus dapat duduk dalam balang lebih tinggi pada undian itu nanti.”

Selain berdepan Thailand selaku tuan rumah, Malaysia akan bertemu sebuah pasukan dari Amerika Selatan dan sebuah lagi pasukan dari Asia.

Mengikut sejarah, Malaysia pernah muncul juara Piala Raja Thailand pada 1972, 1976, 1977 dan 1978, ketika zaman kegemilangan bola sepak negara.