Liga Super Malaysia Berita

JDT belasah Selangor, kembali ke puncak Liga Super

Johor Darul Ta’zim kembali ke puncak Liga Super apabila mudah mengatasi Selangor 5-1 di Stadium Sultan Ibrahim.

Keputusan itu menyaksikan JDT meraih 19 mata selepas 7 perlawanan, satu mata di hadapan Sabah yang memiliki 18 mata dalam 8 perlawanan.

Tuan rumah mendahului seawal minit ke-5 hasil jaringan Bergson dari luar kotak penalti.

Fernando Forestieri menggandakan kedudukan pada minit ke-24 apabila menyempurnakan sepakan percuma dari luar kotak penalti melepasi penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

JDT semakin selesa apabila sekali lagi menjaringkan gol dari luar kotak penalti pada minit ke-35, kali ini hasil rembatan Leandro Velazquez.

Bergson menambah gol keempat buat JDT pada minit ke-54 apabila rembatannya dari sayap kanan gagal ditangkap kemas oleh Khairulazhan yang tertampan ke gawang sendiri.

Bagaimanapun, Selangor akhirnya menjaringkan gol menerusi Nor Hakim Hassan pada minit ke-82.

Mohamadou Sumareh melengkapkan kemenangan JDT apabila menanduk masuk gol hasil hantaran Safawi Rasid dalam masa tambahan.

Kekalahan itu menyaksikan Selangor kekal di tangga ke-6 liga dengan 11 mata selepas mengharungi 7 perlawanan.