Malaysia Berita

FAM rancang anjurkan semula Pestabola Merdeka

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed mengesahkan bahawa pihaknya merancang untuk mengadakan Pestabola Merdeka tahun ini.

Ini sebagai persiapan skuad kebangsaan yang akan menghadapi Piala Asia 2023.

Justeru katanya, perkara itu akan dibentangkan kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam tempoh terdekat.

“Sebenarnya perancangan untuk menganjurkan semula Pestabola Merdeka sudah lama difikirkan,” katanya kepada Harian Metro.

“Tetapi ia terhenti seketika kerana pandemik Covid-19 selama dua tahun.

“Tapi selepas ini ia akan dibincangkan semula bersama Presiden sebab kita mahu momentum skuad negara yang layak ke Piala Asia dapat diteruskan.

“Maka di situ memang ada keperluan untuk mengembalikan semula penganjuran Pestabola Merdeka.

“Perlawanan persahabatan sahaja tidak mencukupi kerana aura pertandingan adalah lebih baik buat skuad negara sebelum beraksi di Piala Asia.”

Bagaimanapun katanya, penganjuran itu tidak semestinya berlangsung pada bulan Ogos bagi menyambut Hari Kebangsaan kerana pihaknya perlu menyusun segala perancangan dengan teliti.

“Sebab ia membabitkan pasukan luar, jadi kita kena lihat komitmen pasukan yang ingin kita jemput dan semua ini mengambil masa.

“Selepas itu pasukan yang akan dijemput nanti kalau boleh berada di ranking lebih baik berbanding skuad negara dan dari situ kita boleh mendapatkan perlawanan kompetitif sebelum beraksi di Piala Asia.”

Pestabola Merdeka mula dianjurkan pada 1957, dengan Malaysia muncul juara sebanyak 10 kali.

Kali terakhir kejohanan itu diadakan adalah pada 2013.