Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan United sahkan Fakhrul Zaman disiasat polis berhubung kes rogol

Kelantan United tampil mengesahkan penyerang pasukannya, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi disiasat pihak polis bagi membantu siasatan dalam kes rogol.

Ini setelah pemain berusia 28 tahun itu ditahan pada Ahad, 29 Mei lalu, selepas pihak polis menerima laporan daripada mangsa berusia 18 tahun yang mendakwa telah dirogol tanpa kerelaannya.

Fakhrul direman selama 4 hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan kes itu akan dirujuk kepada pihak pendakwaan dalam masa terdekat.

“Kami sedia maklum dengan dakwaan yang tular dan mengesahkan kes yang disabitkan dengan pemain kami, Fakhrul Zaman,” kata Ketua Pegawai Operasi Kelantan United, Wan Mohd Zul Ikman dalam kenyataan.

“Pihak Kelantan United memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa dan menunggu laporan penuh berkenaan kes yang didakwa terhadap pemain tersebut.”

Katanya, pasukan itu sentiasa mendukung undang-undang negara dan berpendirian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perlakuan
tidak bermoral oleh mana-mana pihak di dalam kelab.

“Bagaimanapun, Kelantan United tetap berpegang pada prinsip ‘seseorang itu masih tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’.

“Maka setelah berjaya dibuktikan, satu tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang dan terma yang dipersetujui dalam kontrak.”

Justeru itu, Fakhrul direhatkan dari menyertai sesi latihan pasukan dan perlawanan Liga Premier sehingga dimaklumkan kelak.

Fakhrul memulakan karier bola sepak profesional dengan Kelantan pada 2016 sebelum berhijrah ke Kelantan United pada 2019.

Beliau muncul penjaring terbanyak dengan 28 gol sekali gus memenangi anugerah pemain terbaik Liga M3 dan membantu Kelantan United menjuarai Liga M3 pada 2019, serta layak ke Liga Premier bagi musim 2020.