Liga Super Malaysia Berita

Jurulatih Melaka United akui pasukannya ada masalah gaji

Ketua Jurulatih Melaka United, Risto Vidakovic mengakui kekalahan 1-0 kepada Sabah di laman sendiri dalam perlawanan Liga Super malam tadi adalah berpunca daripada masalah tunggakan gaji.

Ini selepas Melaka masih gagal meraih sebarang kemenangan selepas mengharungi tiga perlawanan apabila hanya mengutip satu mata setakat ini.

Pendedahan itu sesuatu perkara yang mengejutkan meskipun pasukan itu sudah pun diambil alih oleh Datuk Justin Lim sejak tahun lalu.

“Kalau sebelum ini saya sering marah pemain kerana lewat untuk menjalani latihan,” katanya kepada Berita Harian.

“Hari ini saya sudah tahu mengapa dan saya cuba memahami keadaan mereka. Pemain sudah memberikan yang terbaik dan sedaya upaya mereka.

“Isu sangat penting (gaji), ini antara penyebab pemain-pemain tidak dapat memberikan fokus di atas padang.

“Masalah ini pertama kali saya hadapi sepanjang berada dalam arena bola sepak.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku jika ingin melihat pasukan ini pergi lebih jauh. Pemain perlu ada motivasi dan motivasi datang dari perkara penting terutama gaji.

“Jika anda tidak mendapat apa yang anda perlukan (gaji) keadaan akan semakin sukar, ramai pemain menghadapi masalah sebegini, Jadi saya minta masalah ini dapat diselesaikan segera.”

Beliau juga mengakui terganggu dengan masalah yang dihadapi pasukan ketika ini.

“Saya harap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana kami tidak mampu untuk bekerja dengan baik dalam situasi ini dan jika kami tidak dapat bekerja dengan baik, anda tidak boleh mengharapkan apa-apa kerana ia adalah situasi sukar buat kami.

“Sukar untuk saya berkata apa-apa kepada pemain kerana mereka telah memberikan segala-galanya untuk pasukan ini dalam perlawanan.”

Melaka akan berdepan juara bertahan Piala Malaysia, KL City di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, Sabtu ini.