Liga Super Malaysia Berita

[VIDEO] JDT juara Piala Sumbangsih buat kali ke-5 berturut-turut

Johor Darul Ta’zim membuka tirai Liga Malaysia dengan kemenangan apabila muncul juara Piala Sumbangsih 2022 setelah menewaskan KL City 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Walaupun tidak meraih sebarang mata, kemenangan itu sekali gus menebus kekalahan kepada KL City dalam final Piala Malaysia tahun lalu.

Harimau Selatan bermula dengan garang pada separuh masa pertama apabila mengatur serangan demi serangan.

Asakan berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila Arif Aiman yang membawa lari bola dari sayap kanan membuat hantaran ke tengah kotak penalti sebelum ditanduk oleh Nazmi Faiz Mansor menewaskan Kevin Ray Mendoza pada minit ke-26.

https://twitter.com/MFL_MY/status/1497564847088697349?s=20&t=NHyXdKDmQENex9Yzfwn0LA

Tidak sampai 10 minit selepas gol pertama, JDT menambah gol kedua menerusi penyerang baharu, Fernando Forestieri yang merembat bola dari luar kotak penalti dan menembusi bahagian kiri atas gawang gol KL City.

Kedudukan 2-0 kekal hingga tamat separuh kedua.

JDT beraksi dalam keadaan lebih selesa dan terkawal di separuh masa kedua, meskipun peluang yang dicipta KL lebih banyak berbanding di separuh masa pertama.

Bagaimanapun, JDT berjaya mengekang KL daripada mencipta lebih banyak peluang dan menjaringkan gol.

Sebaliknya, JDT berjaya menambah gol ketiga hasil rembatan jarak jauh Afiq Fazail selepas mengambil kesempatan di atas kesilapan pertahanan KL, Kamal Azizi pada minit ke-84.

Kedudukan 3-0 kekal hingga tamat perlawanan, dengan JDT sekaligus melakar sejarah apabila menjuarai Piala Sumbangsih buat kali kelima berturut-turut.