Premier League Berita

Ian Ayre akui terpaksa ke rumah rahsia di New York, pujuk Jurgen Klopp sertai Liverpool

Bekas CEO Liverpool, Ian Ayre mengakui terpaksa terbang sehingga ke New York untuk memujuk Jurgen Klopp menjadi pengurus kelab Premier League itu.

Dalam rancangan Football Tribe iaitu Shoot Your Mouth Off! bersama Andy Penders, Ayre yang menjadi CEO dari 2007 hingga 2017 mendedahkan bahawa Liverpool sudah berusaha untuk mendapatkan Klopp sejak beliau meninggalkan Borussia Dortmund pada hujung musim 2014/2015, bagi menggantikan Brendan Rodgers.

“Kami adakan beberapa siri panggilan telefon dengan ejennya, dan kami dapati beliau mahu bercuti setahun dan berada di Amerika Syarikat bersama isterinya ketika itu.

“Kemudian, beliau berkata kepada kami bahawa kami perlu mengadakan pertemuan secara bersemuka untuk beliau pertimbangkan tawaran kami.

“Kami kata tiada masalah, tetapi di mana-mana sahaja kami pergi di Eropah ketika itu, kami akan menjadi halaman belakang setiap surat khabar.

“Jadi, kami merancang untuk bertemu di New York, di rumah tradisional rakannya, siap ada pintu masuk rahsia dan masuk ke bawah tanah, kami berjumpa di pejabat rakannya dan akhirnya kami membuat rundingan di situ.”

Ayre turut berkongsi pengalaman bagaimana beliau membawa masuk Coutinho ke Liverpool.

“Masa saya tiba di Milan, mereka (Inter) langsung tak nak jumpa saya, saya menunggu di bilik menunggu selama 6 hingga 7 jam.

“Selepas itu, CEO Inter, Marco Fassone barulah bersetuju untuk bertemu dengan saya. Dalam tempoh sehari dua, kami berjaya yakinkan beliau untuk menjual Coutinho kepada kami, dan kami berjaya naik kapal terbang bawa pulang Coutinho bersama kami.”

Ayre juga mengakui bukan mudah untuk menandatangani Roberto Firmino dan memastikan beliau menyertai Liverpool.

“Saya terbang ke Santiago, Chile untuk bertemu dengan Firmino. Masa itu beliau sedang beraksi dengan Brazil untuk Copa America, jadi saya perlu melalui rakan Dunga, pengurus pasukan Brazil ketika itu, sebabnya Firmino berada di hotel tetapi tidak dibenarkan berkomunikasi dengan sesiapa.

“Tetapi Dunga akhirnya bersetuju untuk berjumpa dengan saya, ejen dan Roberto untuk memuktamadkan rundingan, dan selebihnya adalah sejarah.”

Ketika ditanya siapa calon sesuai untuk menggantikan Klopp jika beliau tidak melanjutkan kontrak, Ayre berkata, terdapat dua calon yang paling sesuai untuk menerajui pasukan Liverpool ketika ini.

“Yang paling patut dipertimbangkan adalah Steven Gerrard, jelas dengan apa yang dia kecapi. Satu lagi calon ialah Pep Lijnders, pembantu Jurgen.

“Ketika saya mula menyokong Liverpool, mereka sentiasa mempunyai pelapis, dari Shankly ke Paisley ke Fagan ke Dalglish, sekarang ini akan menjadi menarik untuk melihat apakah perkara sama dalam fikiran mereka (FSG).

“Pep seorang personaliti yang luar biasa, beliau tinggalkan Liverpool sekejap untuk menjadi ketua jurulatih, kemudian kembali apabila Željko Buvač meninggalkan pasukan, Klopp meyakinkannya untuk kembali, jadi beliau antara calon yang sesuai.

“Namun, kita masih ada beberapa tahun lagi, macam-macam boleh berlaku, siapa tahu Steven akan terus mempunyai prestasi baik. Adalah mustahil untuk ramalkan keadaan ketika ini, tetapi jika saya, ia akan menjadi Steven atau Pep.”

Ayre yang juga bertanggungjawab membawa Liverpool berjelajah ke Malaysia, bagaimanapun tidak terlalu bimbang dengan situasi kontrak Mohamed Salah.

“Salah ialah pemain terbaik di dunia, saya tahu Liverpool sedang menyediakan tawaran yang sesuai, lagipun Salah bukan seorang yang akan membuat tuntutan tidak realistik, saya yakin mereka akan menyelesaikannya.

“Mo jelas mahu kekal di Liverpool, tidak syak lagi semua orang di Liverpool mahu mengekalkannya, saya yakin mereka akan menemui penyelesaian.

“Apabila kami memulakan projek dengan FSG, apa yang jelas adalah Liverpool tidak mempunyai kekayaan seperti Chelsea, Man City atau Man United.

“Kami tidak boleh bersaing dengan wang, jika kami bersaing dengan wang, kami akan kalah, jadi kami berevolusi, kami perlu mencari nilai baharu supaya kami dapat tandatangan pemain seperti Coutinho dan Firmino.

“Walaupun kami menandatangani Firmino dengan harga 35 juta, ramai masih anggap kami membayar dengan terlalu mahal, tetapi ia adalah lingkungan harga dan gaji yang sesuai, saya pasti Liverpool masih mempunyai struktur gaji, kerana penting untuk mempunyai struktur gaji.

“Tetapi jika anda mempunyai pemain terbaik dunia, maka gaji untuk pemain terbaik dunia tidak semestinya perlu lebih tinggi daripada pemain lain, tetapi statistik Salah sudah pun membuktikannya.”