Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe tidak lupakan pemain simpanan Harimau Malaya

Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe tidak melupakan kehadiran pemain simpanan Harimau Malaya.

Ini setelah beberapa pemain langsung tidak dapat beraksi ketika berdepan Jordan dan Uzbekistan dalam perlawanan persahabatan seperti penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz dan Al Hafiz Harun.

“Kita sentiasa meneliti mereka,” katanya kepada Berita Harian.

“Kita melihat mereka ada teknik dan kemahiran yang baik. Cuma mereka kena sesuaikan diri dengan kepantasan perlawanan antarabangsa yang sangat berbeza.

“Saya harap mereka dapat belajar sesuatu untuk masa depan daripada dua perlawanan ini.

“Sekiranya kita perlu memanggil mereka lagi, mereka sudah bersedia untuk kem latihan skuad antarabangsa selepas ini.”

Pemain akan berebut tempat dalam skuad kebangsaan sekali lagi bulan depan bagi menghadapi saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura yang menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan, Vietnam selain Indonesia, Kemboja dan Laos.

Selepas itu, mereka akan meneruskan misi pada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 dijangka berlangsung, Februari depan.