Malaysia Berita

Turun ke laut punca Shahrul Nizam tidak dapat sertai skuad Harimau Malaya

Bunyinya kelakar tetapi ia kisah benar. Pertahanan Terengganu, Shahrul Nizam Ros Hasni sepatutnya melaporkan diri dengan skuad kebangsaan tetapi gagal dihubungi kerana sedang berada di laut.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata perkara itu dimaklumkan oleh Pengurus Terengganu, Zulfadli Rozi menerusi panggilan telefon kurang dari 12 jam sebelum pasukan negara berlepas ke Jordan 3.15 pagi tadi.

“Sepanjang saya menjadi pengurus tak pernah berlaku lagi pemain tidak datang untuk panggilan skuad kebangsaan,” kata Yusoff kepada Bernama.

“Tetapi saya dihubungi pengurus Terengganu sebenarnya pemain ini dia ke laut.

“Jadi, bila dia di sana memang tak dapat dihubungi, petang baru dia mendarat dan dia juga terkejut,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi.

Terdahulu, Tan Cheng Hoe mengesahkan hanya membawa 22 pemain ke Jordan selepas Sharul Nizam gagal dihubungi manakala pemain Selangor, Sharul Nazeem Zulpakar terpaksa digugurkan saat akhir akibat kecederaan.

Nama Sharul Nizam antara tiga pemain disenaraikan Cheng Hoe Khamis lepas bagi menggantikan tiga pemain utama iaitu Dion Cools, Syahmi Safari dan Akhyar Abdul Rashid, akibat kecederaan.

Shahrul Nizam diturunkan dalam kesebelasan utama Terengganu yang menewaskan Selangor 2-1 di Kuala Terengganu, Rabu lepas pada aksi Kumpulan B Piala Malaysia 2021.

Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia akan berdepan Jordan di Stadium King Abdullah II di Amman pada 6 Okt dan Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman, 9 Okt.