copa america Berita

Julang Copa America, Lionel Messi akhirnya kecapi kejayaan bersama Argentina

Lionel Messi akhirnya mengecapi kejayaan manis bersama pasukan negaranya, Argentina selepas menewaskan musuh tradisi, Brazil di final Copa America sebentar tadi.

Walaupun Messi tidak menjaringkan gol, jaringan tunggal Angel Di Maria cukup untuk Argentina menjulang Copa America pertama selepas 28 tahun, malah mengakhiri rekod tanpa kalah Brazil di tempat sendiri sejak 2,500 hari.

Kali terakhir Argentina memenangi Copa America adalah pada 1993 iaitu ketika jaringan Gabriel Batistuta menumpaskan Mexico 2-1 dalam final Copa America.

Messi pula menamatkan penantiannya selama 17 tahun selepas pertama kali beraksi dengan Argentina pada 2005, ketika itu beliau baru berusia 16 tahun.

Pemain berusia 34 tahun itu akhirnya dapat menutup kritikan berpanjangan terhadap dirinya yang hanya memenangi trofi dengan Barcelona tetapi bukan dengan Argentina.

Copa America 2021 ini juga merupakan trofi ke-35 yang dimenangi Messi sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak.