Luar Negara Berita

[VIDEO] Wan Kuzain muncul wira Rio Grande, kukuhkan kedudukan sebagai pendahulu liga

Wan Kuzain Wan Kamal sekali lagi menjadi wira pasukannya Rio Grande Valley FC Toros apabila menjaringkan satu-satunya gol bagi menewaskan Real Monarchs 1-0 dalam saingan USL Championship.

Pemain berusia 22 tahun itu yang merupakan tonggak utama pasukannya dan beraksi dalam kesebelasan utama dalam setiap perlawanan, mengambil kesempatan di atas kelalaian pasukan lawannya dengan merampas bola di kotak penalti sebelum menendang masuk gol pada minit ke-60.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan Rio Grande kini mengumpul 16 mata sekali gus meletakkan pasukan itu sebagai pendahulu liga Mountain Division dan pendahulu liga Western Conference.

 

Kehadiran Wan Kuzain bersama jurulatih baharu, Wilmer Cabrera mengubah nasib Rio Grande yang hanya menduduki tangga ke-16 daripada 18 pasukan dalam Western Conference musim lepas.

Malah, prestasi Wan Kuzain disusuli dengan spekulasi bahawa beliau berminat untuk mewakili Harimau Malaya tidak lama lagi.