Liga Super Malaysia Berita

Melaka United umum langsai hutang hampir RM1 juta, tapi Curran Ferns nafikannya

Melaka United berdepan situasi yang kekok apabila mengumumkan bahawa mereka sudah menjelaskan segala tunggakan pembayaran gaji, elaun dan caruman kira-kira RM915,000.

Menurut kenyataan rasmi Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri, antara bayaran yang berjaya dijelaskan termasuk tunggakan gaji dan elaun pemain import musim lalu, Uche Agba serta bekas pemain Curran Ferns.

Bagaimanapun, Curran Ferns menafikan di akaun Instagram miliknya bahawa beliau sudah mendapat bayaran daripada Melaka United.

“Ini berita palsu. Satu sen pun belum bayar.”

Mohd Saiful juga mendedahkan bahawa tunggakan gaji bagi bekas pemain import, Narupon Wild Putsorn akan dilunaskan dalam masa terdekat.

“Ini bagi mengelakkan tindakan larangan pendaftaran pemain pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2021.”

Selain itu, pembayaran tunggakan gaji dan elaun pemain serta pegawai pasukan Melaka United bagi musim 2020 sudah mula dibayar mengikut jadual pembayaran yang dipersetujui antara kedua-dua belah pihak.

Pembayaran berjadual itu membabitkan seramai 17 pegawai pasukan musim lalu dan 18 pemain yang masih kekal bersama Melaka United.

Tunggakan untuk keseluruhan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga telah berjaya dilunaskan sehingga kini manakala tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah mula dibayar mengikut jadual pembayaran yang ditetapkan.

“Usaha menyelesaikan segala tunggakan bagi memastikan penyertaan Melaka United dalam saingan Liga Malaysia 2021 yang dijadualkan bermula pada 5 Mac ini tidak berdepan masalah dan tidak dikenakan tindakan yang boleh menjejaskan imej bola sepak Melaka.”

Bagaimanapun, tindakan Melaka mengumumkan terlebih dahulu sebelum benar-benar menyelesaikan tunggakan gaji Curran Ferns sudah tentu menimbulkan persoalan dan dianggap tidak profesional.