Liga Super Malaysia Berita

PKP, darurat bakal beri kesan kepada Liga Malaysia?

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok, 13 Januari dijangka memberi kesan kepada perjalanan saingan Liga Malaysia bagi musim 2021.

Malah, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi membendung gejala wabak Covid-19 untuk tempoh sehingga 1 Ogos atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal.

PKP melibatkan enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula meliputi 6 negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hanya melibatkan Perlis dan Sarawak.

Mengikut pelaksanaan sebelum ini, aktiviti sukan berpasukan dibenarkan di kawasan PKPB dan PKPP tetapi SOP baharu hanya akan diumumkan pada hari ini.

MFL dan FAM masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi, kemungkinan sedang menunggu pengumuman mengenai aktiviti sukan yang dibenarkan.

Dengan 2,232 kes positif Covid-19 dicatatkan setakat semalam, Malaysia mungkin akan mengambil masa yang agak lama untuk menurunkan bilangan kes sehingga ke dua atau satu digit.

Liga Malaysia sepatutnya bermula pada 26 Februari ini dengan Piala Sumbangsih antara JDT dan Kedah diikuti dengan saingan Liga Super dan Liga Premier.

Skuad kebangsaan juga akan berdepan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada bulan Mac ini.

Namun dengan PKP serta darurat, adakah Liga Malaysia perlu dibatalkan musim ini?