Liga Premier Malaysia Berita

SSMIV bakal berwajah baharu, stadium baharu dijangka siap 2026

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat mengesahkan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu bakal berwajah baharu tidak lama lagi.

Katanya, kerja-kerja baik pulih dan naik taraf akan dilaksanakan segera sebaik mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU) bulan ini dan berharap kerja-kerja dapat disiapkan sebelum sepak mula saingan Liga Malaysia pada 27 Februari ini.

“Kita beri tumpuan untuk naik taraf lampu limpah, menukar kerusi penonton, naik taraf kawasan astaka dan grandstand dan mengecat stadium dengan warna baharu,” katanya kepada Harian Metro.

“Kita juga mungkin menukar warna stadium merah jambu kepada warna lain, sekarang hanya tunggu kelulusan EPU dengan mesyuarat terakhir dibuat November lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dah luluskan peruntukkan RM5 juta.”

Tambah Wan Roslan, KBS juga telah menambah peruntukkan RM2.5 juta bagi menaik taraf stadium yang menjadi gelanggang rasmi pasukan Kelantan FC dan Kelantan United.

Pada masa sama, Wan Roslan berkata kerajaan negeri Kelantan juga bakal membina sebuah stadium baharu di Bukit Merbau, Pasir Puteh sebagai persiapan untuk menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) yang ke 22 pada tahun 2026.

“Kerajaan negeri juga sudah melunaskan lebih RM10 juta bagi membayar pemilikan tanah dan pembersihan jalan untuk pembinaan stadium baharu di Bukit Merbau yang dijangka siap tahun sama dengan Sukma.”

Stadium baharu seluas 128 hektar itu dijangka mampu memuatkan 40,000 penonton iaitu dua kali ganda kapasiti penonton di Stadium Sultan Muhammad IV.

Kos pembinaan stadium adalah kira-kira RM250 juta yang turut dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).