Liga Super Malaysia Berita

Tim Heubach pertahanan baharu Selangor

Pemain pertahanan tinggi lampai Jerman, Tim Heubach hari ini diumumkan secara rasmi sebagai pemain import pertama Gergasi Merah yang baharu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2021.

Berasal dari Neuss, Jerman, pemain ini memiliki susuk tubuh menarik dengan ketinggian 192cm dan pernah beraksi di saingan Bundesliga Divisyen 2 menentang kelab-kelab elit lain di Liga Jerman.

Selangor FC merupakan kelab Asia pertama buat pemain ini setelah berkelana lama di Timur Tengah, selain pernah bermain untuk Borussia M’glabach II, 1. FC Kaiserslautern dan FSV Frankfurt.

Kelab terakhir beliau sebelum menyertai Selangor adalah Maccabi Netanya yang bermain di Ligat Ha’Al dari tahun 2017 hingga 2020. Menurut data transfermarkt.com, pemain ini telah membuat sebanyak 82 penampilan dan menjaringkan 5 gol untuk kelab tersebut.

“Saya tidak pernah sampai ke Asia sebelum ini dan ingin mencari cabaran baru di sini  sebelum pulang ke Jerman suatu hari nanti,” jelas pemain berusia 32 tahun ini.

“Semasa saya diberitahu oleh Coach Michael (Feichtenbeiner) mengenai Selangor FC, saya sangat teruja dan menonton banyak video berkaitan pasukan Gergasi Merah di YouTube dan perlawanan siaran langsung, timbul keyakinan untuk saya bermain untuk pasukan ini,” terang Tim apabila ditanya mengapa beliau memilih Selangor FC.

Selepas Tim dihubungi oleh Michael Feichtenbeiner, beliau berkongsi mengenai pertemuannya dengan ketua jurulatih baharu Selangor FC, Karsten Neitzel.

“Saya dimaklumkan yang Karsten bakal menjadi ketua jurulatih pasukan musim hadapan (2021) dan saya sempat bertemu beliau di Jerman pada bulan Oktober lalu, sebaik sahaja saya bersetuju untuk menyertai Gergasi Merah.”

“Itu merupakan pertemuan pertama kami, saya tidak pernah bekerjasama dengan Karsten sebelum ini tetapi kami pernah menjadi lawan pada suatu ketika dahulu.”

“Semasa bertemu, kami membincangkan tentang cabaran baru untuk kami berdua di Malaysia. Beliau juga sempat memberitahu saya mengenai perancangannya bersama Selangor FC dan apa yang beliau harapkan dari saya,” ulas Tim mengenai pertemuannya bersama Karsten.

“Saya teruja dapat menjadi sebahagian daripada perancangan terbaharu Selangor FC,” katanya.

Tim Heubach merupakan pemain terbaru kedua yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan Shahrel Fikri, pemain penyerang kebangsaan sebagai penyerang baharu Gergasi Merah pada awal minggu lalu.