Liga Premier Malaysia Berita

Yusri Che Lah: Norizam Tukiman ubah mentaliti pemain Kelantan

Yusri Che Lah amat menghargai kehadiran Norizam Tukiman sejak beliau mengambil alih pasukan Kelantan dan melabur dalam bolasepak negeri itu.

Ini selepas Kelantan menewaskan Perak II dengan kemenangan tipis 1-0, hasil jaringan Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-45.

Jurulatih Kelantan itu berpandangan, walaupun Norizam baru sahaja mengambil alih pasukan, pemain-pemainnya sudah mula menunjukkan sikap profesionalisme yang tinggi.

“Terima kasih kepada pemilik kerana sering memberikan motivasi kepada saya dan para pemain untuk lakar kejayaan,” katanya dalam sidang media.

“Walaupun Norizam tahu dia tidak ambil alih dari awal, saya nampak beliau mahu menukar cara pemikiran pemain ke arah lebih profesional dan positif, itu saya sambut dengan baik.”

Justeru, Yusri menganggap kekurangan pengalaman Norizam dalam mengendalikan pasukan bolasepak tidak menjadi penghalang untuk mencapai kejayaan.

“Dia bukanlah seorang pemilik yang tidak tahu-menahu langsung mengenai bolasepak.

“Apa yang dia tunjukkan kepada saya, dia bukan sahaja memiliki semangat, tetapi dia berpengetahuan dalam bolasepak.”

Kemenangan itu menyaksikan Kelantan berada pada tangga kelapan liga dengan lapan mata dalam tujuh perlawanan.