Liga Super Malaysia Berita

Selangor 2 jadi medan terbaik buat pemain muda

Tonggak pertahanan Selangor 2, Shivan Pillay Asokan mempunyai misi tersendiri untuk terus mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam pasukan dengan harapan mampu menembusi skuad utama, Selangor pada musim hadapan.

Pemain berusia 20 tahun ini mengakui bukan mudah untuk pemain muda sepertinya menyertai pasukan seperti Selangor dalam saingan CIMB Liga Super, namun ia tidak mustahil kerana Selangor 2 adalah tempat terbaik untuk barisan pemain muda membuktikan kemampuan sekiranya ingin terpilih beraksi dalam skuad utama.

Aksi Shivan setakat ini tidak menghampakan untuk membantu pasukan dalam saingan Liga Premier yang berjaya raih dua kemenangan daripada empat perlawanan ketika ini selain turut mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Michael Feichtenbeiner untuk berada dalam kesebelasan utama.

Justeru, bekas pemain PKNS FC ini tetap komited untuk terus mencuri tumpuan sekali gus mampu menarik perhatian pengendali Selangor, B. Sathianathan bagi menggunakan khidmatnya dalam skuad utama nanti.

“Kalau untuk pasukan sendiri, saya memang berharap sangat dapat membantu Selangor 2 agar terus memberi cabaran sengit kepada pasukan lain dalam Liga Premier.

“Sebab nak ikutkan, Selangor 2 di kedudukan kelima ketika ini dan pasukan lain juga tidak kurang hebatnya dalam memberi saingan kepada kita.

“Tetapi secara peribadi untuk saya sendiri, saya memang teringin sangat nak beraksi dalam pasukan Selangor dan untuk menembusi ke skuad utama memang susah, jadi saya kena bekerja keras dalam 7 baki perlawanan ini.

“Bukan itu sahaja, saya juga ingin layak mewakili skuad senior kebangsaan suatu hari nanti dan ia tidak mustahil sekiranya saya mampu menyerlah dalam saingan liga pada musim ini,” jelasnya.

Selepas 4 perlawanan persahabatan setakat ini, Selangor 2 berjaya meraih satu kemenangan dan terbaru, seri 0-0 ketika menentang Terengganu FC, Jumaat lalu.

Shivan menyifatkan 4 aksi persahabatan yang telah berlangsung itu berjaya membantu mereka sebagai pemain untuk kembali mencari rentak permainan selepas sekian lama tidak beraksi dan menganggap pasukan sudah bersedia sepenuhnya untuk memulakan aksi sebenar pada 26 Ogos ini.

“Memang sekarang ini kita semua sudah dapat rasa perlawanan yang kompetitif atas padang selepas empat aksi persahabatan.

“Walaupun tewas dalam dua perlawanan pertama, tetapi kami semakin berjaya ubah permainan dengan lebih baik dan belajar daripada kesilapan sebelum ini, jadi ia benar-benar membantu prestasi semua pemain.

“Jadi, saya boleh katakan kami semua sudah bersedia untuk memulakan aksi dan mengharapkan baki 7 perlawanan itu akan memihak kepada Selangor 2,” tambahnya.

Saingan CIMB Liga Super dan Liga Premier akan kembali berlangsung pada 26 Ogos ini manakala dua perlawanan tertunda melibatkan PJ City menentang Terengganu FC dan UKM FC berdepan Kelantan akan berlangsung pada 22 Ogos.