Liga Super Malaysia Berita

Sathia: Tidak semua pemain boleh jadi seperti Zainal Abidin Hassan

Jurulatih Selangor, B Sathianathan mengakui sukar untuk memberi peluang kepada pemain muda kerana tidak ramai yang berjaya menunjukkan keupayaan masing-masing dan memberikan impak serta-merta.

Malah, beliau menganggap tidak ramai pemain yang mampu mencabar pencapaian Zainal Abidin Hassan yang menyarung jersi Selangor dan skuad kebangsaan ketika berusia 17 tahun.

“Kalau saya tak bagi peluang dengan Selangor, proses untuk pemain muda matang jadi agak lama dan apabila saya serap belum tentu saya akan gunakan,” katanya kepada Bernama.

“Mereka kena buktikan, saya tahu mereka berbakat tapi tak semua pemain 17 tahun boleh menyerlah macam Zainal Abidin.

“Mereka beraksi di Liga Premier membantu Selangor 2…Michael Feichtenbeiner dan saya sering bekerjasama dan beliau sebagai pengendali Selangor 2 tahu pemain mana boleh dinaikkan ke skuad utama. Jadi proses ini dapat bantu pemain untuk lebih menyerlah.”

Tiga pemain Selangor 2 yang diserapkan ke skuad utama adalah Mukhairi Ajmal Mahadi, Harith Haiqal Adam Afkar dan Azrin Afiq Rusmini.

Sathia menganggap, dalam mengharungi baki tujuh perlawanan Liga Super yang singkat, penggiliran pemain dapat dilakukan.