Liga Super Malaysia Berita

Maaf Pahang, Mo Sumareh lebih suka nasi kerabu

Walaupun sudah hampir 4 tahun Mohamadou Sumareh beraksi di Pahang, namun pemain naturalisasi negara itu lebih meminati nasi kerabu berbanding makanan tradisi Pahang.

Pemain berusia 28 tahun itu mengakui mula meminati makanan tradisi Kelantan sejak beberapa tahun lalu ketika sarapan pagi selepas melakukan latihan ringan bersama pasukannya.

“Kali pertama melihat terus terdetik, nasi apa ini berwarna biru dan ada pula lada besar namun bila mencubanya terus melekat sampai sekarang,” katanya kepada Arena Metro.

“Jika terlalu lapar dan mahu makan dengan banyak terutama ketika berbuka puasa sudah pasti saya akan mencari nasi kerabu ini terutama yang dijual di bazar Ramadan.

“Cuma sekarang agak sukar kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) dan penularan Covid-19 menyebabkan bazar Ramadan tiada dan terpaksa menempah menerusi dalam talian.”

Namun di sudut positif, penangguhan liga juga membolehkan Sumareh meluangkan masa bersama ibu bapanya dan dua kakaknya yang menetap di Petaling Jaya.

“Saya sekarang ini tinggal berhampiran dengan kediaman ibu bapa di Petaling Jaya sekali gus mudah untuk berbuka puasa bersama mereka. Pada masa sekarang mereka sahaja yang istimewa dan paling penting dalam hidup saya.”

Sumareh juga tidak ketinggalan melakukan kerja amal sepanjang bulan Ramadan dengan mengagihkan bantuan kepada golongan memerlukan.