Liga Premier Malaysia Berita

Jadual baharu Liga Malaysia: Pasukan tuan rumah lebih beruntung?

Jadual baharu Liga Malaysia menyaksikan saingan Liga Super dan Liga Premier musim ini akan diadakan satu pusingan sahaja. Selepas empat perlawanan diadakan, ini bermakna setiap pasukan akan beraksi dalam lapan perlawanan sahaja.

Menurut kenyataan MFL, susunan perlawanan akan diteruskan berdasarkan jadual asal, sekaligus akan ada pasukan mendapat kelebihan bermain di laman sendiri, lebih banyak dari pasukan lain.

Ini satu kebimbangan buat UKM yang hanya menjadi tuan rumah sekali sahaja dalam saingan Liga Premier setakat ini.

“Penetapan kedudukan tuan rumah juga penting kerana ia boleh mempengaruhi keputusan perlawanan dan setakat ini UKM hanya sekali menjadi tuan rumah daripada tiga perlawanan liga yang sudah diharungi,” kata Setiausaha Kehormat UKM, Mohd Fairus Shafie kepada BH Sukan.

“Kami berharap MPL dapat berlaku adil dari segi kedudukan itu kerana format perlawanan satu pusingan ini sememangnya suatu cabaran besar buat setiap pasukan termasuk UKM sendiri.”

Ini termasuklah apabila saingan liga akan dimulakan pada awal September dan berakhir pada hujung September, menyaksikan jadual menjadi cukup padat.

“Kami nasihatkan pemain supaya kekalkan tahap kecergasan kerana perlawanan satu pusingan akan menuntut mereka memberikan komitmen 100 peratus dalam setiap perlawanan.

“Kita sememangnya mahu membuktikan sebagai sebuah pasukan yang terbaik musim ini dan walaupun format perlawanan satu pusingan, sasaran tetap sama iaitu kekal dalam Liga Perdana musim depan.

“Jika berjaya beraksi dalam Piala Malaysia musim ini adalah satu bonus.”