Liga Super Malaysia Berita

Jadual baharu Liga Malaysia: Pasukan mungkin perlu lanjutkan kontrak pemain

Berikutan perubahan jadual Liga Malaysia yang bakal diadakan pada bulan September hingga November, pasukan mungkin terpaksa melanjutkan kontrak pemain jika ada yang tamat pada bulan Oktober dan November.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, lanjutan kontrak pemain perlu dibuat seperti mana yang tertulis dalam Garis Panduan Pelarasan Gaji yang diumumkan baru-baru ini.

“Jika terdapat keperluan untuk tempoh pertandingan dilanjutkan melewati tempoh akhir kontrak bagi memastikan musim Liga Malaysia 2020 dapat dilengkapkan, kontrak pemain dan pegawai akan dilanjutkan dengan serta merta sehingga berakhirnya pertandingan musim 2020 ini,” katanya kepada Arena Metro.

“Kita sedar kontrak pemain ada yang tamat pada Oktober dan ada juga November. Tapi jika perlu sambung hingga Disember, perbincangan dengan pemain perlu dilakukan pasukan untuk sambung lagi.”

Isu lanjutan kontrak mungkin akan memberi beban kepada beberapa pasukan yang kebanyakannya tidak mempunyai kewangan yang kukuh dan terpaksa berbelanja lebih, walaupun tidak meraih sumber pendapatan yang besar seperti yang diharapkan disebabkan penangguhan liga.