Liga Super Malaysia Berita

Sepanjang Liga Malaysia ditunda, penjaga gol ini belajar berniaga

Semakin ramai pemain yang menceburi pelbagai jenis perniagaan selepas Liga Malaysia ditunda akibat wabak COVID-19.

Dengan kebanyakan pasukan membuat pemotongan gaji serta masih belum diketahui bilakah Liga Malaysia akan disambung semula, pemain hampir pasti kehilangan punca pendapatan.

Justeru, Muhaimin Mohamad tidak ketinggalan untuk berniaga dengan membantu ibunya menjual mee kari di kampung halamannya di Anak Bukit, Kuala Kedah, demi kelangsungan hidup.

Penjaga gol Felda United berusia 28 tahun itu mengakui dia bukan sahaja mahu mencari pendapatan sampingan tetapi berhasrat untuk mempelajari selok belok dunia perniagaan.

Antara yang menjadi pelanggan setia Muhaimin adalah pemenang FIFA Puskas 2016, Faiz Subri, bekas penjaga gol JDT, Al Hafiz Hamzah dan bekas pemain Kedah, Fauzi Shaari.

“Perniagaan ini sudah lama ibu saya jalankan cuma mungkin kali ini saya baharu berkesempatan untuk membantu tambahan sepanjang tempoh PKP, tiada sebarang aktiviti dapat saya buat.

“Niat saya memang mahu belajar untuk berniaga dan banyak pengalaman yang saya dapat raih sepanjang membantu ibu yang melakukan perniagaan ini bersama.

“Permintaan daripada pelanggan cukup tinggi sepanjang PKP ini terutama mee kari selain roti jala, kuih talam dan kuih seri muka.

“Kekuatan mee kari kami adalah adanya tambahan istimewa iaitu sambal kerang yang menjadi faktor penarik kepada pelanggan selain udang,” katanya.

Muhaimin turut melakukan persediaan mahu menjalankan perniagaan ayam golek bermula pada bulan Ramadan.

“Kedai ayam golek ini saya namakan ‘Papapchaw Ayam Golek’ dan akan diusahakan saya sepenuhnya.

“Harap percubaan pertama saya ini akan membuahkan hasil serta mampu menjana keuntungan selepas banyak belajar daripada ibu selama ini, ” katanya.