Malaysia Berita

FAM, MFL sudah ada jadual baharu Liga Malaysia 2020

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mendedahkan bahawa FAM dan MFL sudah mempunyai perancangan lengkap termasuk jadual kesemua pertandingan di bawah kelolaan FAM.

Malah, kedua-dua badan bolasepak negara itu telah merangka beberapa pelan dengan mengambil kira jumlah pertandingan musim ini dan tempoh masa ideal diperlukan untuk melengkapkan satu-satu kejohanan.

“Berdasarkan perbincangan, kami juga telah sedia dengan jadual perjalanan liga jika ia disambung pada Jun, Julai ataupun Ogos. Tetapi perincian mengenai itu lebih baik MFL yang komen,” katanya kepada Bernama.

Stuart turut mengesahkan satu prosedur operasi standard (SOP) baharu akan diperkenalkan dalam kalangan pemain, jurulatih dan para pegawai yang perlu menjalani ujian saringan dalam usaha mengurangkan risiko dijangkiti wabak COVID-19.

“Kami telah hubungi semua anggota gabungan kami, mereka tahu kami telah bersedia dan mereka tahu kami mempunyai pilihan.

“Semuanya sudah bersedia tetapi seperti kebanyakan negara dan liga dunia, mereka tidak boleh nyatakan dengan tepat bila ia akan bersambung, mereka hanya boleh beritahu anda bila mereka mahu mulakan.

“Kami telah bersedia dari segi penjadualan dan SOP apa yang perlu dilakukan termasuk pemain dan pegawai perlu jalani ujian COVID-19 dan mengisytiharkan mereka tidak mempunyai kontak rapat dengan mereka yang dijangkiti COVID-19.”

Stuart masih kekal dengan pendiriannya untuk tidak membuat keputusan terburu-buru kerana ia melibatkan soal kesihatan dan keselamatan negara.

“Kami faham sekarang bukan masa yang tepat untuk berbincang dengan kerajaan mengenai bola sepak, pada masa ini mereka mempunyai masalah negara untuk ditangani. Jadi bila saatnya tiba untuk kami berbincang kami bersedia dan saya pasti mereka akan lebih mengetahuinya pada masa itu untuk memaklumkan kepada kami apakah SOP yang betul.”