Liga M3 Berita

Azizi Mat Rose tuntut Perlis United bayar gaji penuh, sambung kontrak semula

Azizi Mat Rose menggesa pihak pengurusan Perlis United supaya melunaskan sepenuhnya bayaran gaji pemain bagi bulan Mac, kerana barisan pemain hanya mendapat separuh daripada bayaran yang dijanjikan sebelum ini.

Malah kapten pasukan Liga M3 itu mahu pengurusan mempertimbangkan semula keputusan untuk melepaskan semua pemain yang dibuat secara ‘paksa rela’.

Ini selepas pemain Perlis United dipaksa menurunkan tandatangan dalam surat bertajuk ‘Penamatan Perjanjian Secara Sukarela’ yang sebenarnya disediakan oleh pengurusan kelab, jika mahu mendapatkan gaji penuh bagi bulan Mac.

Pemain tiada pilihan selain daripada menandatangani surat tersebut demi kelangsungan hidup.

“Kita nak beraksi lagi sebab sayangkan pasukan,” kata Azizi kepada Arena Metro.

“Saya harap pemain dapat terus dikekalkan bersama pasukan lebih-lebih lagi pemain muda. Di samping itu, kita harap gaji penuh bulan tiga juga dibayar kerana pemain hanya dibayar separuh saja waktu perjumpaan tempoh hari.

“PFA tak ada kaitan dengan kes ini. Apa yang kita mahu, cuma gaji penuh dan sambung kontrak semula.”