Liga Super Malaysia Berita

Khairul Fahmi tidak kisah gaji kena potong

Tiada siapa sebenarnya yang suka untuk melakukan pemotongan gaji, namun bagi Khairul Fahmi Che Mat, suka ataupun tidak, ia satu perkara yang harus diterima oleh semua pihak demi masa depan yang lebih baik.

Malah, penjaga gol Melaka United itu memahami apa kesannya kepada penaja dan kewangan pasukan jika liga tidak dapat dilangsungkan dan perlawanan tidak dapat diadakan, terutamanya disebabkan wabak COVID-19.

“Kami memahami situasi semasa berkaitan Covid-19 bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia,” katanya kepada BH Sukan.

“Saya juga secara ikhlas sanggup gaji dipotong seperti rakan pasukan Melaka dan barisan kejurulatihan serta pegawai dalam sama-sama memberi sedikit kelegaan kepada majikan menghadapi krisis terbabit.

“Perbincangan bersama pengurusan sudah diadakan dengan persetujuan positif dicapai, cuma peratus pemotongan masih belum diputuskan.”

Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi memuji komitmen pemain, jurulatih dan pegawai pasukan Melaka yang sudi membuat pemotongan gaji bermula bulan ini.