Malaysia Berita

FAM: Tiada sebab Malaysia perlu tarik diri Piala AFF Suzuki 2020

FAM: Tiada sebab Malaysia perlu tarik diri Piala AFF Suzuki 2020

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mendedahkan pihaknya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menarik diri dari saingan Piala AFF Suzuki buat masa ini.

Ini susulan daripada hasrat Thailand yang mempertimbangkan cadangan untuk tidak menyertai kejohanan tersebut hujung tahun ini kerana dijangka bertembung dengan perlawanan liga dan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang ditunda akibat daripada wabak COVID-19.

“Jadual Piala AFF tidak bertembung dengan jadual perlawanan dalam kalendar FIFA,” katanya kepada BH Sukan.

“Kalau FIFA bergerakkan jadual perlawanan kelayakan Piala Dunia, baru kita kena pertimbangkan.

“Buat masa ini, belum masa FAM buat keputusan sama ada tarik diri atau tidak. Mungkin Thailand buat keputusan itu memandangkan memerlukan tarikh berkenaan untuk liga mereka.

“Tapi untuk kami, mengikut perancangan liga akan habis pada November. Jadi kita kena tengok dahulu dan akan tahu selepas COVID-19 berakhir.”

Jadual Liga Malaysia juga dijangka mengalami perubahan selepas penangguhan liga, terutamanya untuk saingan Piala Malaysia.

Setakat ini, Liga Super sudah dalam empat perlawanan manakala Piala FA berada di pusingan kedua.

Jadual kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bakal diadakan antara bulan September dan November, membolehkan Piala AFF diadakan pada bulan Disember.