Liga Super Malaysia Berita

MFL: Stadium Nasional Bukit Jalil tidak boleh digunakan untuk Liga Super

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan menegaskan pertemuan Selangor menentang Perak akan menjadi aksi terakhir buat liga domestik di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Katanya, tidak akan lagi dibenarkan menjadi venue buat mana-mana pasukan sebagai usaha MFL untuk menjaga prestij SNBJ sebagai gelanggang nasional buat pasukan kebangsaan.

“Sukacita dimaklumkan bahawa permohonan FAS untuk menggunakan SNBJ telah diluluskan.

“Bagaimanapun, MFL ingin memberikan peringatan bahawa ini merupakan kelulusan kali terakhir bagi mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia untuk menggunakan SNBJ di mana selepas ini hanya dibenarkan untuk pengelolaan perlawanan akhir Piala Malaysia, Shopee Piala FA dan perlawanan-perlawanan melibatkan pasukan
kebangsaan sahaja.”

Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani mengingatkan kepada pasukan Liga Malaysia agar lebih bersedia dalam persiapan menyediakan venue utama pasukan tuan rumah pada masa akan datang.

“Sehubungan dengan itu, suka saya mengingatkan agar semua pasukan dapat menyediakan venue perlawanan seperti yang termaktub di dalam Manual dan Peraturan Liga Malaysia kerana adalah menjadi tanggungjawab untuk pasukan Liga
Malaysia mempunyai venue sendiri (pilihan pertama dan alternatif) seperti yang telah dinamakan semasa pengesahan pendaftaran pasukan.

“Justeru saya berharap isu ini akan memberikan kesedaran lebih tinggi kepada kesemua pasukan di mana pasukan perlu bergerak lebih proaktif untuk meneliti tahap keadaan stadium yang telah didaftarkan oleh mereka dari segi keselamatan,
keselesaan, kemudahan, keadaan padang dan sebagainya sebelum memanggil MFL turun melakukan pemeriksaan venue.”