Liga Super Malaysia Berita

JDT perkenal jersi baharu musim 2020 tanpa papar nama penaja

Jersi baharu JDT musim 2020 agak unik jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini kerana tidak memaparkan sebarang nama penaja di bahagian hadapan jersi.

Ia sebenarnya merupakan salah satu misi JDT untuk menjadi sebuah kelab bernilai RM1 bilion.

Jersi baharu JDT didatangkan dengan dua rekaan, iaitu jersi merah biru untuk tuan rumah dan jersi di tempat lawan berwarna putih.

Pengurus Pemasaran Sukan Nike Malaysia dan Thailand, Ernest Rodrigues berkata, jersi tuan rumah bagi musim kali ini diinspirasikan daripada bendera Johor iaitu sama seperti musim sebelum ini.

“Jersi kedua untuk pelawat berwarna putih yang melambangkan stadium baharu iaitu Stadium Sultan Ibrahim di Gelang Patah,” katanya kepada Bernama.

“Lilitan berwarna emas di bahagian lengan dan leher pula membawa simbolik kejayaan kelab JDT.”

Nike juga berbesar hati untuk meneruskan tajaan jersi JDT sehingga 2023.

Jersi baharu tersebut akan digunakan bermula Piala Sumbangsih pada 28 Februari ini.

Selain itu, jersi itu akan turut digunakan oleh JDTII di Liga Perdana, JDTIII bagi saingan Piala Presiden dan JDT IV dalam saingan Piala Belia.

Penyokong boleh mendapatkan kedua-dua jersi itu dengan harga RM185 sehelai.