Liga Super Malaysia Berita

B. Sathiananthan: Bukan JDT sahaja jadi pencabar Selangor

Walaupun mengakui JDT masih lagi pilihan untuk memenangi juara Liga Super musim 2020, B. Sathiananthan enggan memandang rendah cabaran daripada pasukan lain.

Katanya, JDT mudah menjadi pilihan utama kerana memiliki ramai pemain berkualiti dan corak permainan mereka dilihat mempunyai keserasian yang tinggi.

Namun Sathia turut menganggap pasukan Pahang, Perak, Kedah, PJ City dan Melaka United sebagai pasukan berbahaya.

“Mereka komited mahu memberikan saingan dalam liga musim depan dan kelibat kesemua pasukan itu perlu diawasi,” katanya kepada Sinar.

“Pahang sendiri walaupun agak senyap dalam persiapan pasukan tetapi saya tahu mereka sudah ada pemain untuk menggalas tanggungjawab bagi musim 2020.

“Beberapa pemain seperti Mohamadou Sumareh dan Matthew Davies akan kekal memainkan peranan sebagai tonggak utama buat pasukan itu.

Bagaimanapun, Sathia memastikan pasukannya menjadi pencabar utama liga selepas sekadar menduduki tempat ketiga Liga Super musim lepas.

“Selangor memang bertekad untuk memastikan musim 2020 adalah lebih baik berbanding sebelum ini selain misi yang telah ditetapkan untuk layak ke saingan peringkat Asia pada 2021.”

Musim ini, Selangor membawa masuk beberapa pemain termasuklah Brendan Gan, Safuwan Baharudin, Nicholas Swirad, Nor Hakim Hassan dan Rodney Celvin.