Liga Super Malaysia Berita

Isu tunggakan gaji: Melaka United adakan pertemuan dengan bekas pemain

Melaka United bakal mengadakan pertemuan dengan 14 bekas pemain bagi menjelaskan kedudukan sebenar mereka yang berdepan dua bulan tunggakan gaji.

Penolong pengurus pasukan, Syahrul Nizam Shamsuddin berkata, ini bagi memastikan tiada salah faham berlaku sehingga bekas pemain mengeluarkan kenyataan di media sekali gus mengundang persepsi negatif dalam kalangan peminat.

“Justeru kami sedia bertemu 14 pemain yang masih memiliki dua bulan tunggakan gaji untuk jalan penyelesaian,” katanya kepada Arena Metro.

“Yang membabitkan 10 pemain masih kekal di Melaka untuk musim 2020 hanya memiliki satu bulan tunggakan gaji, malah mereka tidak menghadapi tanggapan berbeza kerana mendapat penjelasan sebenar.”

Melaka juga terbuka untuk membuat bayaran secara ansuran jika dipersetujui kedua-dua belah pihak.

Ini selari dengan hasrat Presiden Persatuan Melaka United, Damien Yeo Shen Li yang terbuka menerima kunjungan dan pertemuan dengan bekas pemain bagi sebarang penjelasan untuk memastikan semua hutang dapat diselesaikan dengan baik.