Liga Super Malaysia Berita

Juara kanser Sharbinee Allawee sertai Pahang

Penjaga gol veteran Sharbinee Allawee dilaporkan telah menyertai Pahang bagi menghadapi musim 2020.

Pemain berusia 32 tahun itu dilihat sedang menjalani latihan di Pahang, menguatkan lagi khabar angin bahawa beliau akan beraksi bersama skuad Tok Gajah.

Sharbinee juga disertai dengan bekas penjaga gol skuad Piala Presiden Pahang, Daniel Wafiuddin.

Mereka berdua akan menggantikan tempat Mohd Wafieyudin Shamsudin dan Remezey Che Ros manakala khidmat Helmi Eliza Elias dikekalkan untuk musim depan.

Bagaimanapun Dollah Salleh sering kali melakukan pertukaran antara Helmi dan Remezey dalam kesebelasan utama.

Tidak hairan jika Dollah mahukan penjaga gol berpengalaman seperti Sharbinee yang mempamerkan aksi cemerlang ketika di Kuala Lumpur, walaupun pasukan itu akhirnya tersingkir ke Liga Perdana.

Selepas enam tahun di Terengganu, Sharbinee berhijrah ke Selangor mengikuti Irfan Bakti yang menggalas tugas sebagai jurulatih pada 2012.

Namun selepas Irfan meletakkan jawatan pada penghujung tahun itu, Sharbinee sukar mendapat kesebelasan utama yang sering diisi oleh Norazalan Razali dan akhirnya kembali ke Terengganu pada 2014.

Walaubagaimanapun Sharbinee mengejutkan ramai pihak apabila beliau disahkan menghidapi kanser darah peringkat kedua dan terpaksa berehat selama setahun.

Sharbinee, yang juga pemenang pingat emas di Sukan SEA Laos 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010, menjalani enam kemoterapi sepanjang enam bulan dan berehat untuk enam bulan lagi sebelum memulakan latihan.

Beliau kembali ke arena bolasepak tempatan dengan menyertai Kuala Lumpur dan mempamerkan aksi yang memberangsangkan.