Malaysia Berita

Perjalanan yang jauh dan panjang buat skuad B-18

Biarpun gagal bersaing untuk mempertahankan gelaran Piala AFF bawah 18 tahun (B-18) di Vietnam baru-baru ini, skuad B-18 tahun negara harus dipuji kerana keberanian dan tekad mereka untuk bangkit.

Malaysia B-18 tewas dengan jaringan tunggal Australia pada 20 minit terakhir perlawanan dan terpaksa akur apabila gagal mempertahankan kejohanan yang pernah dimenangi sebelum ini.

Skuad kendalian Brad Maloney turun dengan langkah kiri pada hari pertama perlawanan apabila tewas tipis ke atas pasukan tuan rumah Vietnam, selepas kekalahan tersebut, mereka mula bangkit bertatih dan menewaskan lawan masing-masing – antaranya kemenangan ke atas Singapura dan Australia.

Perjalanan untuk sampai ke puncak bukanlah senang apabila dikejutkan dengan Thailand pada aksi terakhir peringkat kumpulan, tetapi mujur nasib menyebelahi Malaysia apabila Kemboja berjaya menewaskan Vietnam yang bakal menjadi penghalang buat skuad negara mara ke peringkat seterusnya.

Dalam saingan kalah mati, Malaysia hampir dikejutkan dengan Indonesia tetapi dengan berbekal semangat yang tinggi, skuad negara menewaskan jiran tetangga dengan kemenangan tipis 4-3 dan layak untuk bertemu Austarlia di pentas akhir.

Bagi pengendali skuad negara, Maloney tetap berbangga dengan pencapaian anak buahnya di kejohanan Piala AFF B-18.

“Saya sangat bangga dengan pemain saya yang memberikan saingan sengit kepada lawan.

“Pemain kami memberikan komitmen yang luar biasa dan semangat berjuang sangat luar biasa.”

Perjalanan mereka masih panjang.

Kegagalan untuk menjuarai kejohanan ini tidaklah bermakna pengakhiran buat skuad muda negara apabila mereka masih mempunyai banyak peluang dan ruang untuk terus bangkit bagi menjadi pelapis yang mengisi kejayaan skuad senior satu hari nanti.

Perjalanan mereka masih panjang dan terdapat banyak lagi kejohanan yang mereka akan sertai.

Tambahan pula umur mereka yang masih muda, jadi tidak hairan jika mereka tewas di peringkat akar umbi kerana sasaran utama kita adalah untuk mereka membesar menjadi pemain yang berjaya dan untuk berjaya, mereka juga perlu belajar daripada kekalahan.

Terdapat banyak bakat-bakat baharu yang mampu diketengahkan di dalam skuad muda ini dan ia mampu dikuatkan lagi jika mereka bergabung dengan beberapa pemain daripada skuad senior.

Tetapi perlu diingat, mereka ini seperti bunga yang memerlukan masa untuk tumbuh dan mekar sebelum menjadi cantik dan wangi.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu menjaga bakat-bakat ini dengan teliti kerana mereka adalah masa hadapan kita untuk melihat Malaysia bersaing dengan negara-negara besar.