Kolum

Sadio Mane buktikan dia lebih baik dari Salah dan Firmino

Sadio Mane telah menjadi pemain penting sepanjang 373 hari untuk, Liverpool dan Senegal.

Beliau telah bermain sebanyak 63 perlawanan dalam tempoh tersebut dengan perlawanan pertamanya adalah menentang West Ham pada 12 ogos 2018.

Pemain kelahiran Senegal menamatkan musim lalu dengan 26 gol dan lima bantuan gol dalam 50 perlawanan dan beberapa hari selepas musim tamat, beliau menjulang Liga Juara-Juara menewaskan Tottenham di Madrid.

Selepas menjadi nadi penting buat kelab, Mane berlepas ke Piala Afrika bagi mewakili negaranya Senegal.

Bekas pemain Southampton telah berjaya membawa negaranya ke perlawanan akhir Piala Afrika dengan merekodkan tiga jaringan sepanjang kejohanan.

Permulaan musim ini, Liverpool turun beraksi menentang Chelsea pada Piala Super Eropah yang menemukan pemenang Liga Juara-Juara dan Piala Europa.

Mane berjaya mencetak nama pada perlawanan tersebut dan persembahan baik beliau juga bersambung pada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Southampton, di mana gol cantik beliau memberi tiga mata berharga buat Liverpool

Penyerang Senegal telah menjaringkan 20 gol untuk Liverpool dalam semua pertandingan pada 2019, menjadikannya sebagai penjaring terbanyak buat kelab pada tahun ini – Mohamed Salah dengan 12 gol, dan Roberto Firmino lapan gol.

Mane juga merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris pada 2019 dengan 15 gol – tanpa menjaringkan satu penalti – dan diikuti oleh Sergio Aguero dengan 14 gol, kemudian Raheem Sterling dan Jamie Vardy dengan 12 gol masing-masing.