Kolum

Solskjaer nampak bayangan Michael Carrick dalam James Garner

Pemain muda Manchester United, James Garner bakal menjadi pemain terbaharu membuat penampilan bersama skuad utama Red Devils dengan Ole Gunnar Solskjaer mahu meletakkan polisi utama kelab adalah melahirkan bintang muda.

Menurut laporan dari 90min.com, perlawanan menentang Chelsea pada Ahad lalu telah menampilkan tidak kurang daripada tujuh pemain yang hadir daripada sistem akademi mereka dan lima daripada mereka adalah barisan utama.

Dengan purata umur 24 tahun dan 227 hari, United telah menurunkan barisan termuda dalam aksi Liga Perdana Inggeris bagi musim 2019/20.

Janji Red Devils buat Garner

Garner telah membuat penampilan pertama buat United pada umur 17 tahun menentang Crsytal Palace ketika Solskjaer baru memegang tampuk pengurusan United.

Dua hari sebelum aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris bertemu Chelsea, pemain tengah bertahan, Garner berjaya menjaringkan dua gol buat skuad bawah 23 United dalam perlawanan menentang West Brom.

Gol pertama beliau adalah sepakan deras jarak jauh yang masuk ke bahagian kanan gol dan jaringan kedua beliau di dalam kotak penalti – dan kedua-dua jaringan ini telah mengingatkan para penyokong United kepada Paul Scholes.

Garner bakal memasuki 18 tahun pada Mac ini dan beliau sudah mula mengintai untuk membarisi skuad utama United selepas Manchester Evening News melaporkan beliau sudah dijanjikan masa bermain oleh pengurusan United.

Solskjaer luah keyakinan

“Dia tahu kita percaya kepadanya. Kami mempunyai kepercayaan besar kepadanya untuk menjadi seperti Michael Carrick,”kata Solskjaer mengenai Garner pada  MUTV, Februari lalu selepas penampilan sulungnya.

“Saya tahu dia muda dan tidak adil untuk anak-anak dibandingkan dengan pemain hebat seperti Michael, tetapi dia berada dalam acuan yang sama. Dia dapat membaca permainan; dia bermain hantaran mudah ; dia melihat melalui garis.

Michael juga pernah mempunyai tekanan ketika masuk menggantikan Roy Keane, jadi ia adalah cara di United. ”