
Perbualan hangat tentang perlawanan di antara Johor Darul Ta’zim menentang UiTM di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, baru-baru ini bukan sahaja berkisar tentang kemenangan.
Tetapi isu kehadiran penyokong yang tidak begitu memuaskan turut menjadi perbualan para pemerhati bola sepak. Bagi mereka, penyokong adalah nadi yang menaikkan moral dan semangat pasukan. Kehadiran penyokong yang sedikit akan memberi kesan kepada tahap permainan pemain.
Dengan hanya kira-kira 5,860 penyokong sahaja yang hadir menyaksikan perlawanan itu. Situasi ini jelas mengusarkan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang telah berusaha keras untuk menaikkan mutu Harimau Selatan.
JDT telah menunjukkan beberapa siri kejayaan dalam saingan Liga Malaysia dan telah menjadi pasukan pertama daripada Malaysia yang menyertai Liga Juara-Juara Asia, tetapi situasi ini bagaikan tidak menghargai usaha Tunku Ismail.
Melalui rekod yang kami perolehi melalui sumber terdekat kami, biarpun ianya menunjukkan peningkat yang baik tetapi ianya masih ditahap kurang memuaskan.
Pada saingan liga Malaysia musim lalu, kehadiran penyokong pada perlawanan pertama di antara JDT dan Kelantan telah direkodkan dengan kehadiran 4,650 penyokong di stadium yang sama.
Perbezaan di antara musim lalu dan musim ini hanyalah dengan peningkatan seramai 1,210 penyokong yang hadir dan ianya bukanlah juga satu angka yang boleh dibanggakan.
Tetapi ia telah menunjukkan usaha MFL dalam memastikan bahawa bukan sahaja pasukan yang bergerak ke hadapan tetapi penyokong juga seharusnya bergerak bersama-sama bagi membantu meningkatkan mutu bola sepak Malaysia.
Kesan penyokong kepada pasukan
Perlawanan bola sepak yang dimainkan di peringkat profesional menuntut pemain untuk bersedia dari segi mental dan fizikal. Mereka bukan sahaja bersaing dengan pasukan lawan, tetapi dengan diri mereka sendiri.
Tambahan pula perlawanan di hadapan beribu penonton di laman sendiri atau laman pihak lawan adalah satu tekanan yang perlu dihadapi setiap pemain.
Walaupun penyokong bola sepak tidak mempunyai pengaruh terhadap fizikal pemain, tetapi mereka mempunyai keupayaan untuk mempengaruhi mental dan semangat para pemain.
Psikologi penyokong bola sepak telah memberi pengaruh yang besar kepada sesebuah perlawanan.
Penyokong bola sepak tidak hanya menonton perlawanan bola sepak. Tetapi mereka juga bergerak aktif dalam menyokong pasukan mereka dan menjatuhkan moral pasukan lawan.
Tambahan daripada itu, perkembangan sesebuah pasukan tidak hanya berkisar kepada pengurusan kelab dan pemain, tetapi ianya melibatkan para penyokong yang menjadi tulang belakang kepada pasukan.
Perkembangan pasukan akan sedikit terencat dengan jumlah penyokong yang hadir dan akan kurang menarik minat penaja untuk menaja pasukan yang bersaing.
Sebagai contoh, kita dapat lihat bagaimana kesan bermain di hadapan penyokong yang ramai telah menjadi pencetus kepada kebangkitan Liverpool ketika menentang Barcelona di Anfield.
Semangat para penyokong juga yang telah menolak pasukan kendalian Jurgen Klopp naik ke atas untuk mendominasi Eropah pada saingan Liga Juara-Juara musim lalu.