Liga Super Malaysia Berita

Liga Super : Pertembungan dengan Perak adalah peluang TFC baiki kedudukan liga

Terengganu FC (TFC) semestinya mahu mencatat kemenangan ke atas Perak setelah gagal membawa pulang tiga mata penuh minggu lalu apabila hanya mencatat keputusan seri dengan Melaka United.

Perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Perak, malam ini adalah medan untuk kedua-dua pasukan mencipta kemenangan.

Perak yang telah mencatat empat kemenangan mahu meneruskan momentum mereka bagi mengelak keputusan seri buat kali kesepuluh.

Bagi pasukan TFC, kemenangan ke atas Perak akan melonjak pasukan mereka ke kedudukan teratas Liga Super.

Justeru, bagi pertahanan muda TFC, Wan Ahmad Amirzafran mahu rakan sepasukan fokus dan menyelesaikan misi mereka dengan kemenangan ke atas Perak di Stadium Perak esok.

“Semestinya kami mahu mencatat kemenangan bertemu Perak, kami tekad mahu merantai pemain lawan, tapi disebabkan pemain utama kami, Tuck dan Anas digantung perlawanan, kami harap sekurang-kurangnya dapat bawa pulang satu mata ke Terengganu,” kata Amirzafran, 25.

“Saya juga minta pemain yang akan ganti tempat Anas dan Tuck supaya dapat beri kerjasama yang terbaik kerana pasukan Perak bukan calang-calang pasukan, tambahan pula dengan kemasukan dua import baharu mereka di bahagian serangan – Ronaldo Henrique dan Raianderson Morais.

“Ketiadaan Camilo tidak menjadi masalah besar, cuma kami bimbang set-piece (situasi bola mati) kerana semua tahu pemain TFC puratanya rendah, tapi saya percaya pemain tempatan mampu melakukan yang terbaik.” katanya kepada BH Sukan.