Liga Super Malaysia Berita

Liga Super : Kedah tak mahu hilang mata lagi

PKNS FC bakal menerima kunjungan Kedah pada perlawanan Liga Super minggu ini di Stadium Shah Alam.

Skuad kendalian Datuk K Rajagopal semestinya mahukan kemenangan setelah tewas mengejut dengan pasukan tercorot, Felda United minggu lalu dalam perlawanan penuh dramatik.

Manakala pasukan Kedah pula mengharapkan tiga mata penuh untuk dibawa pulang selepas hanya mencatat satu mata pada perlawanan dengan Pahang di Darul Aman minggu lalu.

Kedah semestinya pasukan yang lebih baik di carta Liga Super apabila berjaya menempatkan diri mereka di tempat keempat manakala PKNS FC pula berada di tangga ke lapan liga dengan 19 mata.

Tetapi bagi pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak, beliau tidak mahu para pemain kehilangan mata penting lagi selepas seri dengan Pahang minggu lalu.

“Kita tidak rela kehilangan mata lagi kerana persaingan kini bertambah sengit, dengan Selangor sudah memintas pada kedudukan ketiga dan pasukan lain seperti Melaka, Perak dan Terengganu sudah pasti mahu melalukan perkara yang sama.

“Jadi kami perlu lebih fokus, pandang ke depan dan mengambil pengajaran penting dalam perlawanan menentang Pahang sebelum ini.” Katanya.

Untuk rekod, Kedah pernah mencatat kemenangan, 3-1 ke atas PKNS FC pada April lalu dalam saingan Piala FA.

Tetapi bagi jurulatih kelahiran Singapura, beliau tidak mahu para pemain terbuai dengan kemenangan tersebut malah meminta para pemain untuk memberi komitmen yang tinggi.

“Kita tidak mahu dibayangi keputusan perlawanan sebelum ini kerana setiap perlawanan adalah cerita baru dan perlu perancangan yang lebih baik.

“Kita sentiasa menganggap setiap perlawanan itu adalah sukar dan kita harus melakukan sesuatu dalam tempoh tiga hari sebelum perlawanan seterusnya,” katanya