Malaysia Berita

Skuad Sukan SEA bersiap selepas Liga M tamat

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal menjelaskan bahawa badan induk bola sepak negara sedang merangka beberapa pelan menjelang temasya Sukan SEA di Filipina, hujung tahun ini.

Segala pelan yang dibincangkan akan turut sama disertai oleh jurulatih skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut menyatakan persiapan pasukan akan bermula September ini iaitu selepas aksi Liga Malaysia (Liga M) tamat.

“Memang saya ada berbincang dengan Kim Swee (mengenai persiapan skuad B-23). Mungkin selepas liga dan kita sekarang ada tujuh atau enam perlawanan lagi dalam Liga M,” kata Subahan yang juga pengurus skuad B-23.

“Insya-Allah selepas itu, mungkin pada September akan ada beberapa siri program akan diadakan. Pihak pengurusan B-23 yang diterajui saya dan Kim Swee akan maklumkan apa perancangan kita untuk persiapan Sukan SEA.” katanya