Liga Super Malaysia Berita

Liga Super : Terengganu FC terpaksa lupakan khidmat Camilo

Terengganu FC (TFC) mungkin terpaksa melupakan impian mereka untuk melihat kelibat pemain import baharu mereka, Luis Gustavo Camilo pada perlawanan menentang Melaka di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

Ini kerana pemain kelahiran Brazil itu masih belum tiba dan beliau juga tidak turun menjalani latihan rasmi bersama skuad Penyu.

Bagi penolong jurulatih TFC, Mohamad Nik berkata Camilo masih gagal mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC).

“Sepatutnya Camilo sudah hadir menjalani latihan bersama kita minggu lalu, tetapi disebabkan pemain itu belum lagi mendapat ITC menyebabkan hasrat itu tertangguh.

“Kemungkinan pertemuan dengan Melaka pada Sabtu ini dan juga Perak pada 18 Jun ini, kedua-dua perlawanan di tempat lawan, pemain itu tidak dapat diturunkan lagi kerana setakat ini belum ada lagi di Malaysia.

“Lagipun pemain itu perlu menjalani latihan terlebih dulu bersama dengan pemain lain jika tiba dalam masa terdekat, selain itu Camilo juga perlu tahu corak dan taktikal kita sebelum diturunkan beraksi,” katanya kepada BH Sukan.