Malaysia Berita

FAM adakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin bin Haji Mohd Amin, hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Dalam pertemuan lebih 30 minit itu, Dato’ Haji Hamidin yang belumpun setahun menjadi Presiden FAM, mengambil kesempatan membentangkan kepada Dr Mahathir pelan hala tuju jangka masa panjang badan induk berkenaan yang terkandung dalam F:30 serta perancangan projek pembinaan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan di Presint 5, Putrajaya.

Dato’ Haji Hamidin turut mengemas kini maklumat kepada Dr Mahathir susulan perjanjian persefahaman (MoU) di antara FAM dan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) yang ditandatangani di Bangunan Perdana Putra, 5 April lalu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada YAB Tun Dr Mahathir kerana memberi saya ruang berkongsi visi dan misi FAM serta perancangan membina ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan yang dilengkapi tiga padang latihan, termasuk satu dalam dewan.

“Kami mengharapkan impian ini menjadi kenyataan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Selain itu, saya bagi pihak FAM mempelawa wakil pejabat Perdana Menteri untuk menyertai rombongan FAM ke Jepun pada satu tarikh yang akan ditetapkan,” kata Dato’ Haji Hamidin. Beliau diiringi Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Ketika ini FAM berada pada peringkat akhir rundingan dengan pemaju untuk membangunkan ibu pejabat baharu di Presint 5.

Bangunan asal FAM di Jalan Birch (sekarang Jalan Maharajalela), tidak jauh dari Stadium Merdeka, dibina setinggi enam tingkat dengan kos RM317,000 dan dirasmikan pada Disember 1961 sebelum badan induk bola sepak kebangsaan berpindah ke pejabat sedia ada di Wisma FAM setinggi empat tingkat di Kelana Jaya bernilai RM1.85 juta pada 1979.

Bulan lalu Dato’ Haji Hamidin membawa Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden Persatuan Bolasepak Jepun (JFA), Kohzo Tashima, untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Dr Mahathir sebelum menandatangani MoU dengan Tashima di Bangunan Perdana Putra. – FAM