Piala FA Malaysia Berita

Shopee Piala FA : Ronaldo hadir pada waktu yang tepat

Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic menyatakan perasaan bangga ke atas prestasi yang ditunjukkan oleh kedua-dua import baharu Perak pada  aksi suku akhir kedua Piala FA menentang PKNP FC di Stadium Perak, malam tadi.

Pada aksi bertemu PKNP FC, awang import kelahiran Brazil, Ronaldo Henrique Silva berjaya menjaringkan dua gol bagi membuka jalan buat Perak layak ke separuh akhir Piala FA.

“Bukan mudah bagi kedua-duanya untuk menyesuaikan diri dengan pasukan kerana mereka baru sahaja sampai dan hanya menyertai beberapa latihan sebelum diturunkan dalam perlawanan penting itu namun mereka profesional.

“Sebagai jurulatih, saya perlu memastikan kemenangan dan semua anak buah saya berjuang hingga ke wisel penamat dan memberikan seratus peratus komitmen untuk menang.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kerana membenarkan saya mengambil dua pemain import itu dan ia hadiah bermakna buat pasukan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Ronaldo ketika ditemui media menyatakan hasrat untuk mencipta lebih banyak kejutan bersama pasukan.

“Semangat juang tinggi yang ada membuatkan saya lebih bersemangat untuk menyumbat lebih banyak gol selepas gol pertama pada minit ke-23 dan ia hadir dengan bantuan rakan-rakan sepasukan.

“Meskipun dari segi taktikal dan serangan bola sepak agak berbeza dari negara sendiri namun dengan persekitaran serta hubungan erat antara pemain seperti keluarga membuatkan saya selesa untuk memberi aksi terbaik kepada pasukan,” katanya.