Piala FA Malaysia Berita

Shopee Piala FA : Pertahanan TFC tak sabar jumpa Pahang

Pertahanan tengah pasukan Terengganu FC (TFC), Wan Amirzafran Wan Nadris mengakui bahawa tidak sabar untuk beraksi bertemu Pahang pada pertembungan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam esok.

Beliau yang berehat selama tujuh bulan akibat kecederaan berkata kepada BH Sukan,“jika diberi peluang bermain malam esok saya akan bermain lebih baik dan mahu membalas kepercayaan jurulatih seperti yang saya lakukan musim lalu ketika aksi Piala Malaysia sebelum cedera.

“Lagipun sudah lama tidak beraksi. Semangat saya semakin berkobar-kobar selain mahu memastikan kubu tidak ditembusi penyerang lawan dalam aksi hidup mati itu,” kata Amirzafran.

Beliau turut menyatakan mahu mengubat kekecewaan beliau apabila diketepikan akibat daripada kecederaan.

“Musim lalu saya begitu kecewa kerana gagal membantu pasukan terutama pada pentas final Piala Malaysia akibat kecederaan. Jadi perlawanan menentang Pahang nanti saya tekad merantai penyerang lawan dan akan bermain habis-habisan bagaikan aksi final,” kata Amirzafran.