Luar Negara Berita

Malaysia dapat lampu hijau

Skuad Harimau Malaya berjaya mendapat kelulusan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk memindahkan jadual perlawanan daripada 6 Jun kepada 7 Jun bagi membolehkan para pemain menyambut Aidilfitri dijangka jatuh pada 5 Jun.

Malah, aksi kedua playoff nanti menyaksikan Malaysia bakal menjadi tuan rumah sekali lagi pada 11 Jun nanti selepas mendapat lampu hijau daripada Persekutuan Bolasepak Timor Leste yang berdepan masalah kemudahan dan logistik.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, tiada alasan lagi buat skuad negara untuk mencipta kemenangan apabila jadual baharu ini memberi kelebihan kepada skuad Tan Cheng Hoe.

“Kami sudah terima semalam (kelmarin) kelulusan daripada AFC untuk gunakan venue di Malaysia pada 7 Jun dan 11 Jun sebagai perlawanan timbal balik buat Timor Leste selaku tuan rumah di Kuala Lumpur.

“Pengesahan sudah diterima dan cadangan stadium bagi kedua-dua aksi itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Malah, saya juga pagi tadi (semalam) ada berbincang dengan presiden persatuan bola sepak Timor Leste mengenai persiapan dari segi logistik, operasi dan perjalanan pasukan mereka dan semuanya dalam situasi baik dan tak ada masalah,” katanya ketika ditemui pada program piagam Suparimau FAM di Kompleks Sukan PKNS di sini, semalam.