Malaysia Berita

MFL jamin nasib 23 pasukan terjaga, dalam pencarian penaja baharu

Malaysian Football League (MFL) memberikan jaminan geran tahunan pada musim 2019 kepada 23 pemegang taruh kekal terjamin biarpun masih di peringkat perbincangan untuk mengumumkan penaja baharu Liga Malaysia.

Bagaimanapun, MFL menerusi Ketua Pegawai Esekutif, Kevin Ramalingam melahirkan rasa kesal apabila ada segelintir pihak cuba mensensasikan kelewatan penyerahan geran tahunan menjadi faktor terbesar masalah kewangan pasukan bertanding pada musim ini.

Ini kerana Kevin menegaskan nilai geran tahunan itu yang diagihkan kepada pasukan Liga Super dan Liga Premier hanyalah 15 sehingga 20 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan operasi pasukan.

Justeru, Kevin menganggap ia tindakan tidak adil untuk menuding kesalahan di atas kelewatan geran tahunan kepada penganjur Liga Malaysia itu di mana beliau menganggap pasukan bertanding seharusnya tidak memiliki masalah kewangan di awal musim.

“Kalau boleh saya nak bagi (geran tahunan kepada pasukan) semalam tetapi realiti situasi sekarang adalah kami sedang berbincang dengan penaja baharu sebelum kami terima dana kewangan.

“Sudah pasti pasukan akan menerima geran tahunan mereka. MFL sebenarnya membantu pasukan Liga Super mahupun Liga Premier melalui geran tahunan dan jumlah dana ini hanya 15-20 peratus daripada operasi keseluruhan perbelanjaan mereka.

“Pada awal musim, kita tidak boleh nak cakap pasukan sudah tiada duit disebabkan MFL masih gagal menyerahkan geran tahunan tetapi jika ada satu pasukan mengatakan mereka bergelut dengan masalah kewangan disebabkan MFL masih belum menyerahkan geran tahunan, mereka sepatutnya masih ada 75-80 peratus (dana kewangan) untuk menguruskan diri buat masa ini.

“Apa jadi dengan (baki perbelanjaan mereka) selebih itu? Namun demikian MFL tidak memandang ringan mengenai geran tahunan ini dan kita akan usahakan untuk setiap pasukan.

“Jika mereka masih belum menerima geran tahunan sehingga penghujung tahun, saya boleh faham situasi itu tetapi jangan timbulkan isu masalah kewangan pada awal musim,” katanya.

Pada sidang media yang berlangsung pada 15 Mac yang lalu, MFL secara rasmi telah mengumumkan penamatan kontrak penajaan bersama Telekom Malaysia (TM) yang ditandatangani untuk perjanjian selama lapan tahun pada Januari tahun lalu selepas mencapai kata sepakat dalam satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah yang diadakan di Hotel Thistle, Johor Bahru.

Dalam perkembangan lain, Kevin mendedahkan MFL dalam proses perbincangan dengan beberapa pihak berhubung kemasukan penaja baharu yang menunjukkan minat tinggi menaja Liga Malaysia.

“Saya pernah katakan sebelum ini selepas isu penamatan kontrak penaja terdahulu (bersama TM), kita akan membuat pengumuman berkaitan dengan kedatangan penaja baharu sebaik kita ketahui status penaja baharu yang berada tahap perbincangan.

“Apa yang pasti, penaja baharu telah menunjukkan minat yang tinggi dan buat masa ini saya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak penaja,” ujarnya.