Liga Super Malaysia Berita

Rangkuman Liga Super : Enam Kemenangan, Enam Kekalahan

Minggu ke-6 jadual Liga Super menyaksikan 12 gol dijaringkan dalam enam perlawanan, di mana enam kemenangan berjaya dicatatkan oleh enam pasukan dan tiada keputusan seri.

Perlawanan yang menjadi tumpuan minggu lalu adalah diantara Pahang menentang Kedah di Stadium Darul Makmur dengan pasukan kendalian Dollah Salleh berjaya menumpaskan Helang Merah pada minit-minit akhir. Perlawanan yang hampir diakhiri dengan keputusan seri berjaya memihak kepada Pahang dengan gol sendiri oleh pertahanan Kedah, Khairul Helmi Johari.

Kekalahan ini adalah kekalahan pertama buat pasukan Kedah yang sebelum ini mencatat tiga kemengan dan dua keputusan seri. Manakala Pahang pula selesa dengan empat kemenangan dan dua keputusan seri.

Kemenangan Pahang meletakkan mereka di tangga teratas liga dalam masa 24 jam sebelum Johor Darul Ta’zim memintas mereka dengan kemengan bergaya 3-0 ke atas PKNP di halaman sendiri. Gol yang dijaringkan oleh Leandro Velazquez, Diogo dan Gonzalo Cabrera memberi kemenangan selesa buat anak buah Luciano Fiqueroa yang mendahului Liga Super dengan 16 mata.

Perlawanan lain yang mencuri tumpuan adalah diantara Kuala Lumpur dan Selangor. Kedua-dua pasukan turun dengan misi memburu kemenangan pertama. Pasukan City Boys, berjaya berada di hadapan pada separuh masa pertama dengan kelebihan dua gol tetapi mereka dikecewakan oleh anak buah B. Sathianathan yang berjaya melunaskan baki separuh masa kedua dengan tiga gol untuk tiga mata pertama mereka dalam enam perlawanan.

Tiga mata penuh untuk Selangor di tangga ke enam Liga Super dibelakang Perak yang menewaskan PJ City di Stadium Perak, Sabtu lalu.

Manakala di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pasukan Melaka United dikejutkan tuan rumah, Terengganu FC (TFC) dengan jaringan besar 3-0. Gol daripada Nasrullah Hanif, Sanjar Shaakhmedov dan Ahmad Syamim Yahya menafikan misi Melaka United yang mahu mengutip tiga mata penuh sebaliknya dibolos dengan tiga jaringan oleh anak buah Zainal Abidin. Kemenangan ini memberikan suntikan semangat buat pemain TFC yang sebelum ini gagal mencatat kemenangan pertama di laman sendiri.

Perlawanan lain di antara PKNS FC bertemu Felda United menyaksikan pasukan kendalian Datuk K. Rajagopal berjaya mencatat kemenangan bergaya di laman sendiri dengan dua jaringan daripada Romel Morales dan Tamirlan Kozubaev.