Liga Super Malaysia Berita

Irfan Tarik Nafas Lega

Terengganu FC akhirnya menamatkan kemarau kemenangan di laman sendiri selepas menundukkan Melaka United, 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Tiga gol dihasilkan oleh Nasrullah Haniff Johan, Sanjar Shaakhmedov dan Syamim Yahya melengkapkan kemenangan pertama selepas lima aksi hambar sebelum ini.

“Sebelum perlawanan bermula saya ada beritahu pemain supaya meningkatkan prestasi dan perlu mencatat kemenangan di laman sendiri kerana peminat sentiasa memberikan sokongan padu kepada pemain setiap kali beraksi dan mereka dahagakan kemenangan.

“Kita tak mahu selepas ini peminat rasa kecewa dan hilang semangat untuk datang ke stadium jika masih gagal beraksi dengan baik serta menamatkan kemarau kemenangan di tempat sendiri.

“Ternyata cabaran dan kata-kata yang disampaikan kepada pemain berjaya menyuntik semangat mereka beraksi dengan lebih baik, seterusnya mengutip tiga mata,” kata Irfan.

Namun Irfan tanpa berselindung mengakui bahawa pemain beliau seharusnya tidak melepaskan beberapa peluang terhidang.

“Saya akui satu keputusan yang baik pada malam ini (malam tadi) dan ia kemenangan manis, tapi jika pemain tidak tamak kita mampu menambah jaringan terutama di penghujung perlawanan.

“Namun mungkin pemain rasa dah menang mereka pun mencuba sendiri walaupun rakan ada peluang lebih baik untuk menghasilkan jaringan,” katanya.