Luar Negara Berita

Kami Beraksi Lebih Baik Dari Musim Lalu – Pep Guardiola

Manchester City berjaya menewaskan Bournemouth, Sabtu lalu dengan jaringan tipis 1-0 tetapi sudah cukup untuk melonjakkan pasukan mereka ke tangga teratas liga selepas Liverpool seri tanpa jaringan dengan Everton.

Perlumbaan untuk menjuarai taktha liga dilihat semakin cerah buat pasukan Pep Guardiola yang dianggap bermain ‘lebih baik’ berbanding musim lalu yang menyaksikan mereka memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan memecah rekod perlawanan.

Beliau turut menegaskan bahawa kekalahan di tangan Liverpool pada musim ini tidak boleh dianggap gagal kerana perjalanan liga yang masih panjang serta kedudukan yang boleh berubah.

Liverpool yang gagal menjaringkan sebarang gol pada pertemuan dengan Everton meletakkan mereka ditempat kedua dengan perbezaan satu mata manakala Manchester City berada gah di puncak liga biarpun sebelum ini mereka dijarakkan dengan tujuh mata.

(Photo by Robin Jones – AFC Bournemouth/AFC Bournemouth via Getty Images)

“Berdasarkan cara kami bermain, kami beraksi dengan lebih baik (berbanding musim lalu),” kata Guardiola.

“Semua orang tahu apa yang kami perlu lakukan, semua orang membantu satu sama lain.

“Dan apabila perkara ini berlaku, kami boleh terus bersaing dan jika kami tewas, kami tetap tewas tetapi tiada penyesalan.

“Saya tahu dalam masyarakat kita hanya pemenang mendapat pujian pasukan di tempat kedua adalah orang tewas. Tetapi adalah mustahil untuk saya merasai perkara itu terhadap pemain saya.”

Manchester City bakal bertemu Watford pada aksi Liga Perdana Inggeris, Ahad ini sebelum berkunjung ke Schalke 04 untuk kempen Liga Juara-Juara Eropah.